Setelah sekian lama bercadang untuk melawat akhirnya hari ini saya dapat tunaikan hajat tersebut.
Kami sekeluarga telah pergi ke pekan Kuala Klawang untuk melihat sendiri pameran yang ada di Muzium Adat. Ia terletak ditengah-tengah pekan Kuala Klawang di daerah Jelebu. Perjalanan dari Bandar Seremban mengambil masa kira-kira 40 minit melalui kawasan kampung yang berbukit. Kelihatan banyak pokok durian di sepanjang jalan menuju ke pekan tersebut.
Kami tiba di muzium tersebut pada jam 11.50 pagi. Selepas meletak kereta di perkarangan muzium kami masuk untuk memulakan lawatan. Pada hemat saya muzium ini tidak mempunyai ramai pengunjung berdasarkan suasana di situ. Namun begitu bila dilihat pada buku tetamu telah ada beberapa keluarga lain yang telah tiba sebelum kami pada hari ini.
Muzium ini yang mempunyai ruang pameran setinggi tiga tingkat memberi pendedahan berkenaan adat-adat di Malaysia secara umum, proses pembentukan kerajaan dan juga penerangan berkenaan adat perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan.
Konsep interaktif yang dilaksanakan oleh Jabatan Muzium di sini amat baik dan boleh diperbaiki lagi. Ada bahagian yang dalam penambahbaikan dan senggaraan.
Secara keseluruhan muzium ini boleh menjadi satu tarikan kepada masyarakat yang ingin belajar adat2 dalam negara kita. Namun begitu, kandungan pameran perlu dipertingkatkan bagi memberi lebih banyak makluat kepada pengunjung. Malah ia boleh menjadi pusat rujukan adat istiadat bagi semua perkara berkaitan adat resam sekiranya lebih banyak maklumat dipamerkan.
Datanglah ke Muzium Adat dan hayatilah mesej yang ada di sana. Berikan maklumbalas supaya ia boleh diperbaiki dan seterusnya menjadi pusat rujukan adat negara kita.
Recent Comments